Melalui aktiviti ini, murid-murid akan merasa seronok kerana mereka dapat memperolehi pengalaman secara langsung dalam aktiviti yang telah mereka jalankan. Penglibatan murid-murid secara aktif dalam proses pembelajaran dan pengajaran itu tadi akan memupuk semangat kerjasama setiap ahli di dalam satu pasukan. Secara tidak langsung murid-murid dapat dipupuk dengan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, bantu-membantu, toleransi , keberanian dan sebagainya. Pengalaman yang diperoleh secara langsung ini akan memberi kesan pembelajaran yang lebih memberangsangkan. Murid-murid akan lebih ingat apa yang dialami daripada hanya melihat gambar rajah dan mendengar penerangan daripada guru sahaja.
Melalui aktiviti ini juga guru dapat mengesan ,salah konsep murid dengan serta-merta. Guru boleh memperbetulkan salah konsep murid terhadap kapasiti cecair dalam bekas-bekas yang berlainan saiz dan bentuk dengan mudah dan segera. Dengan memperoleh konsep yang betul dan jelas, murid-murid adalah lebih mudah menguasai kemahiran-kemahiran mengenai penyukatan isipadu cecair dan dapat menganggar kapasiti bekas dengan lebih tepat.